KEPERLUAN BAHAN BANTU MENGAJAR

Guru mempunyai tanggungjawab yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah. Dalam proses pengajaran, tidak semua pendekatan atau kaedah pengajaran guru adalah berkesan untuk menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajar. Selain teknik dan pemahaman pedagogi yang ada pada seseorang guru, penggunaan Bahan Bantu Mengajar (BBM) merupakan salah satu kaedah yang sesuai bagi membantu guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai bukan sahaja membantu guru untuk menyampaikan kandungan pengajaran semata-mata, tetapi untuk memastikan maklumat atau ilmu yang di sampaikan akan dapat disampaikan dengan berkesan dan difahami oleh pelajar.
Salah satu keperluan terhadap bahan bantu mengajar adalah untuk meningkatkan minat pelajar atau murid terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan. Penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai akan mengekalkan tumpuan pelajar terhadap pembelajaran dan meransang minda pelajar untuk meningkatkan perasaan ingin tahu dalam diri pelajar tentang kandungan pelajaran. Bahan bantu mengajar yang berupa gambar rajah, suku kata, dan berbentuk permainan sudah tentu akan menarik minat pelajar dan segala maklumat yang disampaikan akan difahami dengan baik oleh murid. Hal ini demikian kerana pelajar pada abad ke-21 ini lebih berminat terhadap sesuatu yang menyeronokkan dan memberikan keselesaan kepada mereka semasa belajar berbanding kaedah membaca teks secara bersama yang mana akan menyebabkan pelajar mudah bosan dan seterusnya hilang tumpuan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran.
Seterusnya, bahan bantu mengajar diperlukan adalah untuk mewujudkan komunikasi dua hala guru dengan pelajar. Penggunaan BBM dalam proses pengajaran akan mewujudkan suasana yang kondusif dalam bilik darjah, maka guru dengan pelajar akan dapat berkomunikasi dan berinteraksi antara satu dengan yang lain. Pada masa yang sama, kemahiran guru dalam berkomunikasi dan mengawal suasana kelas akan dapat ditingkatkan. Melalui komunikasi yang berlaku dalam bilik darjah pelajar akan dapat membina keyakinan diri untuk bercakap di samping meningkatkan kemahiran komunikasi yang ada dalam diri pelajar. Bukan itu sahaja, hubungan antara guru dengan pelajar turut dapat dieratkan dan memudahkan guru untuk memilih pendekatan yang sesuai untuk mengajar bagi sesetengah pelajar. Di samping itu, melalui komunikasi dalam kelas pelajar sudah tentu akan menjadi lebih aktif dengan suasana proses pengajaran dan pembelajaran yang ceria, menyeronokkan dan mewujudkan suatu zon selesa kepada pelajar untuk belajar.
Penggunaan bahan bantu mengajar amat diperlukan untuk mempelbagaikan aktiviti dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dan menyeronokkan akan memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan bahan tersebut dan sekali gus dapat meningkatkan kemahiran berfikir pelajar. Penggunaan bahan bantu mengajar yang berunsurkan aktiviti bukan sahaja memberikan input dari segi isi kandungan pengajaran tetapi turut memberikan pengalaman yang menyeronokkan kepada para pelajar berbanding penggunaan kaedah konvensional yang berfokus kepada kaedah syarahan dan pembacaan buku teks. Tambahan pula, aktiviti-aktiviti yang dijalankan melalui kaedah penggunaan bahan bantu mengajar akan meningkatkan daya ingatan murid terhadap maklumat serta ilmu yang disampaikan oleh guru kerana pelajar lebih cenderung dan berminat terhadap sesuatu yang bersifat nyata dan bukan hanya sekadar teori.

Selain itu, memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan berkesan juga merupakan salah satu keperluan terhadap bahan bantu mengajar. Pengajaran yang berkesan dapat disimpulkan sebagai pengajaran yang mampu mewujudkan suasana yang sihat bagi menggalakkan murid untuk terus belajar. Kita sedia maklum bahawa tahap kecerdasan setiap pelajar adalah berbeza-beza antara satu dengan yang lain dan guru memerlukan kaedah atau teknik yang sesuai untuk memastikan kandungan pelajaran yang disampaikan berkesan serta difahami oleh pelajar. Cara penyampaian maklumat yang tidak berkesan dan kandungan pelajaran yang terlalu rumit akan menyukarkan pelajar untuk memahami isi kandungan pelajaran yang diajarkan oleh guru. Oleh yang demikian, penggunaan bahan bantu mengajar yang ringkas dan menarik akan membantu proses pemahaman murid dengan lebih jelas. Bahan bantu mengajar yang digunakan hendaklah sesuai dengan topik pengajaran yang hendak diajarkan oleh guru. Hal ini demikian kerana bahan bantu mengajar yang digunakan bukan sahaja mudah digunakan oleh guru tetapi turut mampu untuk menyampaikan topik pengajaran dengan berkesan. Dalam konteks ini, guru seharusnya terlebih dahulu merancang topik, objektif, cara penyampaian isi dan membuat penilaian yang sesuai dengan kebolehan sedia ada setiap murid bagi membolehkan pengajaran disampaikan dengan berkesan.

No comments:

Post a Comment

Copyright© All Rights Reserved http://cat-meooww.blogspot.my