Secara umumnya, bahan bantu mengajar merupakan salah
satu pelengkap bagi membantu warga pendidik dan pelajar dalam proses pengajaran
dan pembelajaran. Bahan bantu mengajar dilihat menjadi aspek penting dalam
pembelajaran kerana bahan bantu mengajar ini penuh dengan kreativiti, serta berupaya
membantu pelajar meningkatkan daya rangsangan ketika belajar. Terdapat pelbagai
bahan yang boleh dijadikan bahan untuk bantuan pembelajaran. Bukan sahaja teks,
gambar-gambar, atau, papan hitam, malah terdapat banyak lagi bahan bantu
mengajar yang boleh digunakan mengikut kesesuaian semasa. Oleh hal yang
demikian, penggunaan bahan bantu mengajar mempunyai kebaikan dan kelebihannya
yang tersendiri bagi warga pendidik khususnya dan juga pelajar amnya.
Kebaikan dan kelebihan penggunaan
bahan bantu mengajar ini ialah dapat merangsang minda dan pemikiran pelajar
untuk digunakan sepanjang tempoh belajar. Di sekolah, penggunaan buku teks
sebagai bahan bantu mengajar sememangnya tidak asing lagi. Namun, sejauh
manakah penggunaan buku teks ini mampu merangsang minda dan pemikiran para pelajar di sekolah.
Di dalam buku teks, terdapat terlalu banyak kandungan perkataan dan ayat
sehingga boleh mencetuskan rasa bosan dalam diri pelajar. Sekiranya, guru bijak
dalam mempelbagaikan bahan bantu mengajar dengan mengedarkan bahan bacaan
bergred yang menarik, maka kaedah ini berupaya memberikan kelainan buat
pelajar. Seterusnya, bahan bantu mengajar dikatakan berupaya merangsang minda
para pelajar yang sememangnya menghasilkan mutu atau kualiti yang tinggi dalam
pembelajaran. Secara tidak langsung, bahan bantu mengajar ini berupaya membantu
para pendidik untuk menyelesaikan masalah pemilihan kaedah atau teknik
pengajaran yang sentiasa berubah.
Kedua, bahan bantu mengajar ini
dilihat berupaya mencetus minat pelajar semasa tempoh pengajaran dan
pembelajaran. Penggunaan bahan bantu mengajar yang berbeza boleh menarik
perhatian pelajar untuk belajar. Hal ini dek peralatan yang digunakan dapat
menjadi penggalak, pencetus, atau daya penarik dalam penyampaian pelajaran.
Sebagai contoh, seorang guru yang masuk ke kelas dengan membawa sebuah kotak
atau kad-kad yang berwarna warni jelas menimbulkan tanda tanya dalam diri
pelajar. Secara tidak langsung, kaedah yang digunakan ini boleh mencetuskan
minat pelajar untuk belajar kerana mereka berasa teruja dengan bahan bantu
mengajar yang dibawa oleh guru tersebut. Jika penggunaan bahan bantu mengajar
dan penyampaian yang dibuat oleh guru ini tidak jelas dan teratur, maka tidak
mustahil untuk mencetuskan minat dalam diri pelajar untuk belajar meskipun
bahan bantu mengajar ini diaplikasikan di dalam kelas yang lemah dalm
penguasaan pembelajaran. Penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dan jelas
akan mendorong minat pelajar untuk melalui proses pembelajaran yang
menyeronokkan.
Ketiga, penggunaan bahan bantu
mengajar ini dapat menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran itu lebih
menarik dan lebih efektif. Kaedah pengajaran yang dibuat adalah berbeza dengan
kelas-kelas sebelumnya. Jika sebelum ini, penggunaan buku teks telah menjadi
kaedah utamadalam bilik kuliah, kini kaedah pengajaran boleh diubah dengan
menggunakan bahan bantu mengajar berteraskan multimedia. Penggunaan peralatan
berteknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran amatlah digalakkan kerana
kerelevenannya pada abad ini.
Seterusnya
yang keempat, bahan bantu mengajar bukan sahaja dapat menarik minat pelajar
untuk belajar, malah turut membantu mengetengahkan kebolehan dan bakat yang
dimiliki pelajar. Pemilihan bahan bantu mengajar yang baik sememangnya memberi
impak yang positif kepada pelajar. Oleh hal yang demikian, penggunaan bahan
bantu mengajar sebagai salah satu kaedah pembelajaran sememangnya membantu
mengembangkan potensi serta keupayaan pelajar, terutamanya dalam bidang
akademik.
Akhir sekali,
suasana di dalam bilik darjah juga akan menjadi lebih hidup dengan wujudnya
bahan bantu mengajar ini. Kebaikan bahan bantu mengajar sememangnya akan
menggalakkan para pelajar bergiat aktif dalam bilik darjah. Kita sedia maklum
bahawa, proses pembelajaran yang berlaku ini bukanlah hanya berpusatkan guru
semata mata, malah turut melibatkan setiap individu pelajar. Hal ini kerana,
setiap bahan bantu mengajar yang dibekalkan oleh guru mempunyai aktiviti dan
manfaatnya yang tersendiri. Oleh itu, amatlah digalakkan dalam pengaplikasian
bahan bantu mengajar ini di dalam bilik darjah. Manfaat dan kebaikannya amatlah
besar kepada guru dan pelajar. Bahan bantu mengajar yang direka haruslah sesuai
dan berfungsi untuk sesi pengajaran yang dilaksanakan.
No comments:
Post a Comment